Sejuk Mata Hati
Artikel dikemaskini pada :
2023-11-30 14:52:39

Solat yang merupakan rutin harian seorang mukmin, sangat penting untuk dilatih dan dipupuk sedari kecil agar sebati sebagai peribadi dan tercetak kukuh, agar ia tidak lagi dapat ditanggalkan dengan mudah dari kamus kehidupan.
Hebatnya generasi sahabat, mereka tanpa sebarang persenjataan yang lengkap dan bilangan yang ramai , pun begitu mampu mendatangkan kegerunan dalam hati musuh-musuh Islam hanya dengan laungan takbir , adalah bertitik tolak dari latihan solat dan disiplin solat itu sendiri.
Merekalah yang dididik secara first hand oleh junjungan besar Baginda Nabi s.a.w. , sosok yang begitu mementingkan solat sebagai wadah untuk menzahirkan perhambaan dan kebergantungan kepada Allah Tuhan Maha Pencipta.
Dalam satu dari sabdaan Baginda s.a.w, Baginda ada menyebut bahawa solat ialah penyejuk mata hati Baginda.
Berdepan kepayahan dan kesedihan silih berganti, sememangnya memerlukan seseorang untuk dijadikan bahu tempat bersandar dan meluah rasa. Dan semestinya tiada sesiapa yang lebih layak untuk disandarkan diluah kepadanya segala macam keperitan selain Dia, kerana Dia pastinya sentiasa mempunyai solusi dan jalan keluar yang terbaik buat kita.
Inilah bahagia yang sebenar.
Dapat keluar dari kebuntuan, dapat menemui solusi bagi masalah, tiadalah hari yang lebih menggembirakan selain hari kita dapat bertemu jalan keluar daripada permasalahan sedang dihadapi.
Inilah yang sering dipraktikkan oleh baginda s.a.w. , kerana Baginda benar-benar yakin tiada sesiapa pun mampu menyelamatkan, membahagiakan Baginda s.a.w. melainkan Allah.
Justeru, dalam kehidupan singkat ini di mana kita seringkali tersasar dalam mencari titik bahagia, sayugialah kita menjadikan prinsip Baginda s.a.w ini sebagai suatu paksi dan pautan utama bagi merangka struktur pembentukan nilai kebergantungan hanya kepada Nya dalam diri dan keluarga .
Mulakanlah dengan pembangunan solat dalam kumpulan kecil bermula dari diri sendiri dan keluarga, boleh jadi jika diterima Allah usaha ini, nantinya akan menjadi tapak kepada pembentukan jamaah lebih besar yang akhirnya mudah-mudahan sedikit sebanyak memberi nilai tambah buat jamaah Umat Islam secara keseluruhannya.